Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu peribahasa sesuai menggambarkan situasi 10 beranak di Kampung Teluk Pasu di sini yang hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selain ketua keluarga juga diserang angin ahmar.

Sebelum ini, Syed Anuar Tuan Baseng, 49, menanggung isteri dan lapan anaknya berusia antara dua hingga 22 tahun dengan menjual pakaian di pasar malam namun pelaksanaan PKP 3.0 bermula awal bulan ini membantutkan usaha keluarga berkenaan mencari rezeki.

Malah, mereka turut diuji apabila Syed Anuar yang diserang angin ahmar seminggu sebelum Aidilfitri lalu kini terlantar dan mengharapkan isteri, Sharifah Akmarina Syed Ali, 44, dan anak sulung untuk meneruskan kehidupan harian.

Sharifah Akmarina berkata, dia terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga dengan mengambil upah menjahit bagi menampung perbelanjaan sambil dibantu anak sulung, Syed Muhammad Firdaus, 22, yang juga seorang tukang gunting.

Katanya, pelaksanaan PKP menyebabkan mereka tidak boleh berniaga seperti biasa dan dia bersama anak sulung mencari alternatif lain bagi menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

"Sebelum ini, suami yang jadi ketua keluarga tetapi kesihatannya yang terjejas memang memberi kesan kepada keluarga kami apatah lagi lima anak masih belajar termasuk anak kedua yang menuntut di sebuah kolej.

"Selain itu, suami juga perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kos lain seperti susu khas dan lampin pakai buang," katanya.

Bagi Syed Muhammad Firdaus pula, pelbagai kerja dilakukan seperti mengangkat dan menghantar barang selepas perkhidmatan menggunting rambut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0.

"Selain menyediakan perkhidmatan gunting rambut, saya memang membantu ayah berniaga di pasar malam sebelum ini tetapi sejak PKP ini, saya melakukan apa sahaja kerja yang boleh menambah pendapatan.

"Dengan keadaan ayah, saya bukan sahaja perlu bantu ibu menambah pendapatan keluarga tetapi perlu menghantar ayah ke hospital untuk rawatan dan memberi barang keperluan harian yang lain," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Teluk Pasu, Mohd Sufi Hashim berkata, pihaknya sedang memohon dana Tabung Darul Iman bagi membiayai kos perubatan Syed Anuar selain membaiki kediaman keluarga itu supaya ia lebih selesa.

Katanya, bantuan segera seperti sumbangan kewangan, katil dan barang keperluan harian sudah disalurkan sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai keluarga berkenaan.

"Kita akan lihat bantuan lain yang boleh disalurkan kepada keluarga ini termasuk keperluan susu khas dan lampu pakai buang yang diperlukan Syed Anuar dan keluarganya," katanya.

Syed Anuar Tuan Baseng, 49, yang terlantar selepas diserang angin ahmar. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Syed Anuar Tuan Baseng, 49, yang terlantar selepas diserang angin ahmar. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 2:40 PM