Omar Ahmad


KESIHATAN penyanyi veteran bersuara emas Zaleha Hamid semakin merosot sejak dua bulan lalu dan kini hanya mampu mengerdipkan mata sebagai ganti percakapan.

Platun lagu Teruna Idaman berusia 63 tahun itu terlantar selepas diserang angin ahmar Disember tahun lalu.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan untuk menguruskan Zaleha yang memerlukan penjagaan rapi dan pemerhatian.

Katanya, keputusan berhenti kerja dibuat dua bulan lalu dan hanya menggunakan duit sumbangan peminat untuk membeli keperluan Zaleha yang mesra disapa Mama, termasuk susu dan lampin pakai buang.

"Bahagian kiri badannya tidak boleh digerakkan susulan serangan itu, tapi pada awalnya Mama masih boleh bercakap dan menggunakan anggota badan kanan.

"Tetapi sejak dua bulan lalu, bahagian kanan juga lemah dan kini dia tidak boleh lagi bercakap. Saya berinteraksi dengannya melalui kerdipan mata, kalau lapar biasanya Mama akan berdehem.

"Dia hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan menerusi tiub sebagai makanan harian," katanya ketika ditemui di kediamannya di Skudai, Johor Bahru.

Ungku Sulaiman berkata, walau apapun berlaku, dia tetap yakin dan tidak berputus asa untuk melihat Zaleha sembuh dengan rawatan berterusan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ditanya persiapan Aidilfitri, lelaki itu berkata, belum ada persiapan raya buat dirinya dan anak, sebaliknya mereka sudah membelikan Zaleha baju raya berwarna hijau secara dalam talian.

Dia berharap wanita kesayangannya dapat memakai pakaian itu pada pagi Syawal dan kesihatannya beransur baik.

Terdahulu, nasib Zaleha mendapat perhatian pelakon dan penyanyi, Betty Banafe yang menyumbang barang keperluan dan wang tunai bersama sukarelawan Jom Sedekah Banafe Team.

Katanya, walaupun berlainan zaman, Zaleha dikenali selepas berkongsi pentas dengan abangnya daripada Kumpulan Lela ketika mereka mengadakan konsert pada 90-an.

"Selepas mengetahui keadaannya, saya bercakap dengan ahli kumpulan supaya mengumpul barangan dan Kak Zaleha antara penerimanya. Kami berbesar hati dapat menemuinya, memandangkan sebelum ini tidak berkesempatan sebaik mengetahui dia sakit," katanya yang turut menyumbang wang tunai.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 101011611981 atas nama Siti Zaleha Abdul Hamid.

UNGKU Sulaiman melakukan urutan terapi di jari Zaleha yang terlantar selepas diserang angin ahmar. FOTO Omar Ahmad.
UNGKU Sulaiman melakukan urutan terapi di jari Zaleha yang terlantar selepas diserang angin ahmar. FOTO Omar Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 10:39 AM