Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: "Air naik terlalu cepat menyebabkan saya panik mengenangkan keadaan suami yang terlantar sakit," kata Hasnah Hanafi, 40, mangsa banjir di Bandar Baru Bukit Mentok, di sini.

Hasnah yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, keadaan suaminya, Safari Osman, 42, yang terlantar selepas jatuh ketika membaiki bumbung pada 22 Disember lalu menyebabkan dia panik apabila melihat air mula memenuhi pekarangan rumah.

"Suami jatuh ketika mengambil upah membaiki atap menyebabkan pinggangnya patah dan terbaring di katil.

"Memang cemas sebab sebelum ini air tidak sampai ke depan rumah tetapi kali ini air mula memenuhi laluan kira-kira jam 8 malam.

"Melihat keadaan itu, saya segera menghubungi pasukan penyelamat untuk berpindah kerana bimbang air semakin tinggi dan menyukarkan pasukan penyelamat membantu kami," kata ibu kepada tiga anak.

Hasnah berkata, banjir yang melanda kali ini membuatkan dia teringat bencana sama yang berlaku pada 2013.

PASUKAN penyelamat membantu memindahkan Safari ke PPS di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
PASUKAN penyelamat membantu memindahkan Safari ke PPS di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

"Ini tahun keempat kami tinggal di sini tetapi tidak pernah mengalami banjir seteruk ini sehingga perlu berpindah.

"Jika suami sihat, saya tidak bimbang sangat namun keadaannya itu membuatkan saya panik.

"Mujurlah ada pasukan penyelamat yang membantu memindahkan suami," katanya.

Hasnah bersama suami dan tiga anak mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman kelmarin (Rabu).

Pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan sukarelawan mengangkat Safari ke lori bersama katilnya sebelum dibawa ke PPS Dewan Berlian MPK Kemaman yang terletak kira-kira empat kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 12:05 PM