DATUK Dr Zulkifli Mohamad  Al Bakri menyusun tuala wanita di Kedai MAIWP bagi menjayakan kempen Kemiskinan Haid dengan menyediakan tuala wanita percuma kepada miskin bandar. PIX Twitter Dr Zulkifli
DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menyusun tuala wanita di Kedai MAIWP bagi menjayakan kempen Kemiskinan Haid dengan menyediakan tuala wanita percuma kepada miskin bandar. PIX Twitter Dr Zulkifli
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kemiskinan haid bukan hanya isu global yang membabitkan ketidakupayaan mendapatkan tuala sanitari, malah memberi kesan kepada kelompok miskin bandar di negara ini.

Prihatin dengan isu membabitkan keluarga miskin bandar, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengambil inisiatif menyediakan tuala wanita percuma kepada golongan terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya akan mengadakan kempen bagi membantu meningkatkan kesedaran berhubung isu ini dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, sebagai permulaan Kedai Rakyat MAIWP (KRM) dan Kedai YADIMart akan menyediakan tuala wanita secara percuma untuk wanita miskin bandar.

Katanya, perlu ada usaha berpanjangan bagi memberikan kesedaran berhubung perkara berkenaan berikutan ia berkait rapat dengan pelbagai punca permasalahan membabitkan semua pihak.

"Saya akan terus menyokong usaha murni ini selain menggerakkan agensi agama di peringkat Persekutuan dalam menjayakan kempen ini.

"Terima kasih pembayar zakat dan penderma infaq yang menyokong usaha ini," katanya dalam hantaran pada akaun Twitternya hari ini.

Isu kemiskinan haid ini turut mendapat perhatian dan sokongan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggerak sosial.

Antara yang menyokong program ini adalah Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan ahli akademik Dr Fatimah Al Attas.

Dalam ciapan di Twitternya Dr Jemilah turut mengucapkan tahniah atas inisiatif yang sangat baik dan penting itu.

Katanya, kemiskinan haid amat menyukarkan kehidupan wanita dan beliau berharap program itu terus berjaya serta diperluas ke seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:44 PM