PENYERAHAN rasmi sumbangan tuala wanita bernilai RM150,000 disampaikan Hirofumi kepada Hema.
PENYERAHAN rasmi sumbangan tuala wanita bernilai RM150,000 disampaikan Hirofumi kepada Hema.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MASALAH kemiskinan yang dialami keluarga B40 menyebabkan ramai yang terpaksa membuat pilihan sama ada untuk mengisi perut atau membeli barangan keperluan lain.

Sering kali, barangan keperluan asas wanita seperti tuala wanita berada di tempat terakhir dalam senarai barang keutamaan.

Kekangan kewangan dalam keluarga yang terkesan menyebabkan ramai wanita dan remaja tidak dapat menguruskan proses menstruasi dengan sebaiknya.

Menyedari keperluan itu, KAO Laurier Malaysia dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dan kerjasama MyPerintis serta sumbangan orang ramai, memperuntukkan tuala wanita bernilai RM150,000 untuk disumbangkan kepada 20,000 pelajar B40 di 20 universiti awam di seluruh negara.

Usaha itu diselaraskan menerusi kempen Kebersihan Menstruasi Adalah Hak Wanita yang diadakan selama tiga bulan mulai November tahun lalu dan berakhir dengan majlis penyerahan rasmi di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Presiden KAO Malaysia, Itou Hirofumi berkata, sinergi antara pihaknya dengan MyPerintis penting untuk mencapai matlamat kempen iaitu menangani kekangan dalam mendapatkan produk keperluan penjagaan kebersihan haid yang dihadapi pelajar wanita di universiti.

SETIAP orang boleh memainkan peranan dalam membasmi kemiskinan haid.
SETIAP orang boleh memainkan peranan dalam membasmi kemiskinan haid.

Kata Hirofumi, pihaknya gembira melihat rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tampil untuk menghulurkan bantuan, berkongsi wawasan 'Kirei' jenama itu untuk menjadikan kehidupan lebih indah buat semua.

"Sumbangan semua pihak menerusi kempen berkenaan sememangnya dapat membantu pelajar wanita yang memerlukan.

"Ia sekali gus turut membantu mencapai potensi penuh mereka sebagai anggota masyarakat yang produktif," katanya.

Di peringkat global, kelestarian kini adalah aspek penting bagi setiap organisasi dan operasi dalam usaha menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Usaha itu antara lain memastikan bekalan barangan keperluan penjagaan kebersihan haid, menjana kesan pengganda yang berkait rapat dengan SDG termasuk SDG 1 (tiada kemiskinan), SDG 3 (kesihatan yang baik dan kesejahteraan), SDG 4 (pendidikan berkualiti), SDG 5 (kesaksamaan jantina) dan SDG 6 (air bersih dan sanitasi).

Menerusi program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) jangka panjangnya, syarikat terbabit turut menjadi rakan baik kepada gadis sejak 27 tahun lalu, dengan usaha yang dikhususkan untuk menyokong dan mendidik mereka mengenai penjagaan kebersihan diri.

Setakat ini, ia membawa kesan bermakna kepada kehidupan lebih dua juta pelajar dari lebih 8,000 sekolah, menerusi program berkaitan.

PENJAGAAN kebersihan diri perlu diutamakan.
PENJAGAAN kebersihan diri perlu diutamakan.

Kempen terbaharu itu adalah lanjutan program ESG yang sebelum ini membabitkan sekolah rendah dan menengah dan kini beralih kepada bidang keperluan di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Dalam pada itu, sesi perbincangan turut diadakan selepas majlis penyerahan berkenaan membabitkan beberapa ahli panel iaitu Naib Presiden Pemasaran KAO (Malaysia), Tan Poh Ling, Pengerusi Pengasas MyPerintis, Datuk Lawrence Low, dan selebriti Sweet Qismina, bagi berkongsi pandangan mengenai tempias pandemik yang dirasai komuniti B40.

Perbincangan itu mendedahkan bahawa kehilangan pekerjaan atau kemerosotan pendapatan yang dialami oleh keluarga B40 memaksa mereka membuat pilihan sama ada untuk mengisi perut atau membeli barangan keperluan lain.

Selain itu, pembabitan penggiat sosial dengan komuniti B40 di peringkat akar umbi sepanjang tempoh kempen juga mendapati kekangan kewangan dalam keluarga yang terkesan menyebabkan sesetengah wanita menggunakan alternatif kurang selamat seperti tisu tandas, tuala buruk dan juga surat khabar untuk menguruskan proses menstruasi.

Malah lebih menyedihkan apabila ada juga remaja yang terpaksa ponteng sekolah, menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran dan akhirnya menjejaskan peluang mendapat kerja yang stabil pada masa depan.

Menyedari betapa serius isu itu, ahli panel bersetuju bahawa menangani punca sebenar isu berkenaan memerlukan tanggungjawab dikongsi bersama oleh agensi kerajaan, pemain industri swasta, penyokong sosial dan anggota masyarakat.

Sementara itu, wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Hema Shankari Kalidasan berkata, akses kepada produk penjagaan kebersihan wanita ialah satu keperluan asas dan ramai pelajar wanita B40 di universiti sedang menderita kerana kemiskinan haid.

"Setiap orang boleh memainkan peranan masing-masing dalam membasmi kemiskinan haid.

"Kami berharap semoga kerjasama dari semua pihak dapat membasmi kemiskinan haid dalam kalangan pelajar yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 6:03 AM