Datuk Seri Nancy Shukri
Datuk Seri Nancy Shukri
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengutamakan golongan B40 dan kurang berkemampuan dalam usaha mendidik mengenai pendidikan haid seawal usia remaja.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebanyak RM 3 juta diperuntukkan bagi usaha itu termasuk kepada komuniti Orang Asli.

"Kita tidak panggil ia kemiskinan haid... sebenarnya ia lebih kepada mendidik remaja mengenai haid.

"Kita lebih kepada pendidikan sebab kita mahu bantu ramai orang terutama golongan Orang Asli, B40 dan memerlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Wanita & Gadis Malaysia (MWGF) 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, Karima El Korri dan wakil Malaysia bagi United Nations Population Fund (UNFPA), Dr Asa Torkelsson.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) bakal memulakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma bagi menangani isu kemiskinan haid di negara ini dengan permulaan inisiatif itu akan mula dilaksanakan di Pejabat Menteri di KKM dalam masa terdekat.

Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi, namun, ada kritikan yang mempertikaikan kewajaran memulakan program itu di lokasi itu kerana mereka yang memerlukan tuala wanita ialah golongan tidak berkemampuan bukannya yang bekerja di pejabat menteri.

Sementara itu, Nancy berkata, pihaknya menyokong apa sahaja yang membantu rakyat terutama golongan memerlukan dalam perkara itu.

Menurutnya, ia bukan sahaja bersasar di mana-mana pejabat kerana kemampuan setiap individu adalah berbeza.

"Kita dari KPWKM tidak mahu sentuh orang lain... yang kita sentuh (diutamakan) ialah sasaran kepada B40 dan mereka memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 2:12 PM