AKIBAT rasa malu dan dianggap sebagai sesuatu yang taboo untuk dibincangkan, ia terus jadi barah. - FOTO Google
AKIBAT rasa malu dan dianggap sebagai sesuatu yang taboo untuk dibincangkan, ia terus jadi barah. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


Kemiskinan haid adalah situasi di mana seseorang wanita itu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita atau tampon akibat kemiskinan atau beban kewangan.

Bukan itu sahaja, kemiskinan haid juga merujuk kepada kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitasi untuk menguruskan haid seperti tiada bekalan air atau tiada tempat pelupusan sampah (tuala wanita) yang sesuai dan privasi untuk menguruskan haid.

Situasi ini mungkin kedengaran janggal bagi kebanyakan masyarakat, namun ia adalah mimpi ngeri bagi beberapa kelompok berisiko termasuk wanita luar bandar, miskin bandar dan miskin tegar dalam menghadapi hari-hari mereka didatangi haid.

Keadaan dilihat menjadi lebih serius ketika ramai yang terkesan selepas kehilangan kerja dan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Isu kemiskinan haid ini bukan sesuatu yang baharu, namun akibat rasa malu dan dianggap sebagai sesuatu yang taboo untuk dibincangkan, ia terus menjadi barah dalam masyarakat.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam International Islamic University of Malaysia (IIUM), Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, akibat kemiskinan, ada yang terpaksa menggunakan tuala wanita yang sama untuk tempoh yang lama.

"Lebih menyedihkan, akibat tidak mampu membeli tuala wanita, mereka hanya menggunakan kain buruk, sabut atau surat khabar lama sebagai ganti kepada tuala wanita.

BEBANAN kewangan akibat Covid-19 menjadikan kemiskinan haid semakin serius. - FOTO Google
BEBANAN kewangan akibat Covid-19 menjadikan kemiskinan haid semakin serius. - FOTO Google

"Ada pula yang menggunakan semula tuala wanita yang sudah dibasuh dan dikeringkan. Selain itu, ada juga yang terpaksa menggunakan bahan yang tidak sesuai sebagai ganti kepada tuala wanita," katanya.

Mengulas lanjut, semua tindakan yang tidak menitikberatkan faktor kebersihan ini boleh mengundang jangkitan kuman pada bahagian alat sulit wanita.

"Ia juga boleh menjangkiti saluran kencing dan organ peranakan. Jangkitan yang berulang-ulang boleh mendatangkan kemudaratan kepada tahap kesuburan seseorang wanita," katanya.

Kajian dijalankan mendapati ada remaja dan kanak-kanak perempuan yang akil baligh tidak dapat hadir ke sekolah ketika didatangi haid kerana tiada tuala wanita atau hanya menggunakan alternatif lain sebagai ganti kepada tuala wanita.

Katanya, di kawasan majoriti penduduknya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, masalah sanitasi adalah sesuatu yang membimbangkan kerana sistem pelupusan sampah tidak diurus dengan baik.

"Ia diburukkan lagi dengan sikap segelintir penduduk yang tidak mengamalkan kebersihan dan kekemasan persekitaran.

"Di tempat pembuangan atau pengumpulan sampah, boleh dilihat tuala wanita yang sudah digunakan terdedah kepada penglihatan umum.

"Selain mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar, ia turut menyumbang kepada rasa malu dan tidak selesa dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.

TIADA tempat pelupusan sampah (tuala wanita) yang sesuai. - FOTO Google
TIADA tempat pelupusan sampah (tuala wanita) yang sesuai. - FOTO Google

Tambahnya, dalam situasi pandemik ini, sasaran utama bagi setiap keluarga ialah menyediakan makanan atas meja untuk santapan seluruh keluarga.

"Keupayaan untuk menyediakan makanan untuk ahli keluarga adalah suatu cabaran bagi golongan miskin bandar dan miskin tegar.

"Jika menyediakan makanan sudah menjadi cabaran besar, pasti penyediaan keperluan asas selain makanan termasuk tuala wanita adalah bebanan besar kepada golongan ini," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Hal Ehwal dan Pembangunan Masyarakat IIUM, Dr Syarifah Fatimah AlZahrah Syed Hussien Al-Attas berkata, kesedaran mengenai kemiskinan haid perlu diwujudkan dalam kalangan masyarakat dan pemegang taruh lain termasuk pihak berwajib yang berkait dengan institusi keluarga dan masyarakat serta pertubuhan sukarelawan.

"Individu yang terkesan juga perlu diperkasakan supaya dapat tampil membawakan isu yang mereka hadapi.

"Dengan adanya penggemblengan sumber dan tindakan dari semua pihak yang terbabit, isu kemiskinan haid ini akan dapat ditangani. Lebih utama, nasib mereka yang terkesan dengan masalah ini akan terbela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:02 AM