Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal melaksanakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan dalam usaha memerangi kemiskinan haid dalam komuniti.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, sebagai permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan di pejabatnya sendiri.

Beliau berkata, inisiatif yang mendapat sambutan di peringkat global itu akan dikembangkan ke seluruh kementeriannya.

"Saya sebagai Menteri Kesihatan wanita pertama elok kita lakukan di KKM sendiri.

"Saya mulakan tugas di Pejabat Menteri (dengan) pemberian tuala wanita," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan pertamanya, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Zaliha berkata, sudah tiba masanya isu kemiskinan haid dalam komuniti ditangani dengan dasar lebih tegas berikutan selama ini ia hanya dibuat melalui gerakan dan program di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, dengan memulakan inisiatif berkenaan di pejabatnya, ia diharap bakal mendapat sokongan di seluruh KKM.

Katanya, selepas itu, pihaknya melihat kemungkinan bekerjasama dengan agensi lain yang menangani secara khusus kemiskinan haid.

Ditanya sama ada KKM juga akan melaksanakan pendidikan berkenaan haid, Dr Zaliha berkata, usaha sedemikian perlu melihat kerjasama antara agensi.

"Selepas itu kita akan lihat perincian termasuk perkara mengenai kesedaran berkenaan haid," katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, pihaknya akan melihat untuk meningkatkan inisiatif Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang memberikan sejumlah 130,000 tuala percuma melalui Bajet 2022 dalam Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan tahun hadapan.

Katanya, ia akan menjadi permulaan di peringkat nasional.

Kajian Kemiskinan dan Stigma Haid oleh Kotex yang dijalankan sebelum ini mendapati seorang daripada dua pelajar perempuan didapati ingin ponteng sekolah ketika haid.

Media melaporkan, Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Martina Jezdikova berkata, kajian yang membabitkan 746 responden perempuan berusia antara 10 hingga 24 tahun di seluruh negara itu turut mendapati lima peratus gadis juga tidak mampu membeli tuala wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 10:55 AM