MASIH ramai gadis malu berbicara soal itu secara terbuka walau anggap ia normal
MASIH ramai gadis malu berbicara soal itu secara terbuka walau anggap ia normal
Fairul Asmaini Mohd Pilus

ADA remaja wanita di negara ini yang berhasrat ponteng sekolah ketika didatangi haid selain masih ramai tidak mampu membeli tuala wanita.

Bunyinya seperti sesuatu remeh namun haid sememangnya masih menjadi topik tabu dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Meskipun ia adalah perkara normal yang dialami wanita setiap bulan namun harus diakui, masyarakat Malaysia masih kurang berfikiran terbuka mengenainya.

Dalam sesetengah masyarakat pula, wanita yang datang bulan turut dianggap 'kotor' dan akan dipinggirkan.

Masalah bukan sahaja dihadapi wanita malah remaja perempuan di negara ini terutama yang masih bersekolah juga berdepan cabaran tersendiri ketika mengalami haid.

Berdasarkan Kajian Kemiskinan dan Stigma Haid oleh Kotex, seorang daripada dua pelajar perempuan didapati ingin ponteng sekolah ketika haid.

MASIH ramai yang tidak mampu membeli tuala wanita.
MASIH ramai yang tidak mampu membeli tuala wanita.

Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Martina Jezdikova berkata, kajian yang membabitkan 746 responden perempuan berumur antara 10 hingga 24 tahun di seluruh negara itu turut mendapati lima peratus gadis juga tidak mampu membeli tuala wanita.

Kata Martina, keadaan itu menyebabkan ada yang terpaksa menggantikan tuala wanita dengan kain atau kertas selain terpaksa ponteng sekolah antara sehari hingga tiga hari setiap bulan.

Katanya, walaupun lebih daripada 86 peratus responden mengakui bahawa haid adalah fungsi badan yang normal, namun hanya 32 peratus menyatakan bahawa mereka selesa berbincang mengenainya secara terbuka termasuklah dengan yang berlainan jantina.

"Ia menunjukkan haid belum lagi dianggap normal dalam masyarakat di negara ini.

"Masyarakat seharusnya perlu mewujudkan persekitaran yang selesa bagi membolehkan wanita berbincang mengenainya dan tidak berasa malu untuk meminta tuala wanita jika memerlukan.

"Jika tidak, wanita berisiko berasa kurang berani meminta bantuan dan sokongan yang diperlukan sedangkan ia bukan sekadar pendarahan setiap bulan tetapi salah satu cara badan memberitahu kita mengenai sistem reproduktif, " katanya pada sesi perbincangan mengenai dapatan kajian itu di ibu negara, baru-baru ini.

ISU global yang memerlukan tindakan proaktif pelbagai pihak.
ISU global yang memerlukan tindakan proaktif pelbagai pihak.

Hadir sama, Pegawai Perubatan Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Wan Hilya Munira Mustapha dan Pegawai Bina Kapasiti Women's Aid Organization (WAO), B Gaayathrey.

Dalam pada itu, Dr Wan Hilya berkata, ia perlu diteliti secara mendalam kerana terdapat keperluan kerjasama pelbagai pihak untuk mengatasi isu kemiskinan haid dan stigma dalam masyarakat di negara ini.

Kata beliau, dari sudut perubatan, haid juga boleh menyebabkan kekejangan di bahagian abdomen, ketidakselesaan perut dan sebagainya yang boleh mengganggu kerja atau persekolahan.

Menurutnya, jika kesakitan akibat haid dialami wanita dewasa yang bekerja misalnya, majikan seharus perlu lebih empati sekiranya pekerja berkenaan memerlukan cuti sakit atau bekerja dari rumah.

"Ini kerana jika kesakitan itu teruk, perlu segera bertemu dengan doktor kerana terdapat kes ada yang pengsan ketika datang bulan.

"Selain itu, LPPKN turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pendidikan kesihatan reproduktif di sekolah menengah dan guru juga memainkan peranan penting bagi memulakan perbincangan mengenai haid dengan lebih terbuka demi menormalisasikan haid dalam kalangan remaja.

MARTINA, Dr Wan Hilya dan Gaayathrey pada sesi perbincangan mengenai hasil kajian kemiskinan haid Kotex  di ibu negara, baru-baru ini.
MARTINA, Dr Wan Hilya dan Gaayathrey pada sesi perbincangan mengenai hasil kajian kemiskinan haid Kotex di ibu negara, baru-baru ini.

"Ini secara tidak langsung dapat membuka mata mereka dan memahami bahawa haid bukannya sesuatu yang memalukan," katanya.

Menurut Dr Wan Hilya lagi, penggunaan bahan yang tidak bersih untuk menguruskan haid juga boleh menyebabkan risiko kesihatan lain jika tidak diuruskan dengan sempurna.

Katanya, kekangan dalam bentuk fasiliti juga akan memberi kesan kepada tahap kebersihan wanita atau kanak-kanak perempuan dalam pengurusan haid mereka.

"Dalam isu ini, masyarakat perlu dididik mengenai kebersihan haid dan pada masa sama memperkasa gadis di negara ini untuk lebih memahami aspek kesihatan haid.

"Jika tiada langkah diambil, kemiskinan haid bukan sahaja akan menghalang pendidikan gadis di Malaysia malah menjejaskan keyakinan diri dan menggugat kesihatan serta kesejahteraan mereka," katanya.

Gaayathrey pula berpendapat, golongan lelaki juga perlu diberi pendedahan dan kesedaran mengenai isu kemiskinan haid kerana sebagai ayah, abang atau adik, mereka juga boleh memberi sokongan kepada wanita dalam keluarga mereka selain mengatasi stigma yang ada.

Katanya, haid tidak boleh lagi dianggap perkara yang memalukan atau perlu disorok kerana ia adalah perkara biasa kepada setiap wanita.

"Jika kanak-kanak perempuan diajar untuk tidak bersuara mengenai keperluan haid, mereka sukar untuk berkongsi masalah atau menyembunyikan kesakitan yang dialami.

"Dalam hal ini, ibu perlu memainkan peranan dan mendedahkan anak masing-masing termasuk anak lelaki maklumat berkaitan haid dan pengurusannya," katanya.

KANAK-kanak perempuan perlu diberi pemahaman mengenai haid yang menjadi perkara biasa dalam hidup wanita.
KANAK-kanak perempuan perlu diberi pemahaman mengenai haid yang menjadi perkara biasa dalam hidup wanita.

Sementara itu, istilah kemiskinan haid adalah merujuk kepada masalah kekurangan akses kepada produk kebersihan wanita, kekurangan pendidikan mengenai pengurusan haid dan pengurusan sisa haid.

Terdapat pelbagai kesan kemiskinan haid yang berbeza ke atas populasi yang berbeza.

Kekangan produk haid seperti tuala wanita buat kanak-kanak atau remaja yang masih bersekolah akan memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk menghadiri kelas atau menyertai aktiviti di sekolah.

Ia secara tidak langsung akan memberi kesan jangka masa yang panjang kepada mereka dari aspek peluang kehidupan.

Untuk wanita dewasa pula, kekangan produk haid mungkin boleh memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk berkerja dengan lebih produktif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 7:01 AM