LAPORAN Harian Metro semalam.
LAPORAN Harian Metro semalam.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan berhubung pergaduhan membabitkan penghantar makanan dan pelanggan yang menyentuh sensitiviti agama di Sungai Way di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, semua suspek direman dua hari bermula hari ini.

"Kita akan maklumkan sekiranya ada tangkapan baru atau pihak yang dikehendaki bagi membantu siasatan," katanya dihubungi.

Semalam, enam individu terdiri daripada seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan.

Polis menerima laporan daripada seorang penghantar makanan berhubung tindakan seorang pelanggan yang didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama, jam 2.30 petang.

Penghantar makanan itu kemudiannya membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan berkenaan sebelum ditularkan dalam aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan berkenaan.

Ia menimbulkan kemarahan kepada sekumpulan penghantar makanan lain dan mereka kemudiannya ke rumah pelanggan terbabit di kawasan Sungai Way sebelum berlaku pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 3:23 PM