RAKAMAN video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan penghantar makanan di Sungai Way, Petaling Jaya.
RAKAMAN video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan penghantar makanan di Sungai Way, Petaling Jaya.
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis Selangor menegaskan jaminan polis tidak pernah membabitkan sebarang bentuk bayaran wang ringgit melainkan kes berkenaan dituduh di mahkamah.

Ini termasuklah urusan jaminan lima penghantar makanan e-hailing yang direman polis susulan kes pergaduhan membabitkan isu sensitiviti agama di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua penghantar makanan terbabit kini sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis sedang melengkapkan siasatan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Seperti mana kita beritahu, jaminan polis tidak perlu bayar.

"Yang jelas dalam jaminan polis tidak membabitkan sebarang duit kecuali kalau dituduh di mahkamah dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar secara maya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, tadi.

Arjunaidi berkata, polis tidak mengetahui tujuan sebenar jika ada pihak membuat kutipan wang terhadap lima penghantar makanan terbabit tetapi pihaknya akan menyiasat perkara itu.

"Apabila ada seseorang mengiklankan memberitahu membuat kutipan wang, bermakna polis mengesyaki mungkin ada penyelewengan dan cuba ambil peluang. Oleh itu, kita siasat perkara terbabit," katanya.

Dalam pada Itu, beliau juga mengesahkan badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan kutipan derma itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk menjelaskan perkara berkenaan semalam.

Ahad lalu, media melaporkan, polis meminta orang ramai tidak terpedaya dengan satu kenyataan dimuat naik di Facebook milik sebuah NGO berkaitan kutipan derma bagi membiayai wang jaminan lima penghantar makanan yang ditahan polis.

Lima penghantar makanan ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah susulan tindakan seorang pelanggan lelaki yang sengaja mencetuskan kontroversi.

Dalam kejadian Jumaat lalu, enam individu termasuk seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan berkenaan yang tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 5:40 PM