Juruteknik dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam ketika proses permohonan reman. FOTO ihsan SPRM
Juruteknik dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam ketika proses permohonan reman. FOTO ihsan SPRM
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang juruteknik direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam bermula hari ini kerana disyaki cuba memberi rasuah wang tunai berjumlah lebih RM100,000 kepada seorang pegawai polis bagi menyelesaikan kes dadah.

Perintah reman sehingga 31 Mei itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor membuat permohonan itu pagi ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditahan SPRM di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara kira-kira jam 9.30 malam semalam ketika cuba memberikan wang rasuah berkenaan.

Difahamkan, wang rasuah yang diberikan kepada pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) itu adalah sebagai dorongan untuk melepaskan rakan sekerjanya daripada dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ditangkap atas kesalahan memiliki dadah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat di mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 12:25 PM