FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tujuh pegawai penguat kuasa agensi kerajaan dan dua orang awam termasuk warga asing direman antara lima ke tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM500,000.

Mereka ditahan di Sarawak dan Selangor, semalam selepas disyaki meminta dan menerima suapan berkaitan pas pekerja asing antara 2019 hingga tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuching, Sarikei dan Shah Alam selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, enam penguat kuasa terbabit termasuk pegawai kanan dan seorang warga asing ditahan di Sarawak, manakala seorang penguat kuasa dan wanita tempatan yang juga pemilik syarikat ditahan di Selangor.

Penahanan pertama di Sarawak membabitkan pegawai kanan berusia 50-an dan lelaki warga asing berusia 30-an kerana dipercayai meminta serta menerima wang berjumlah lebih RM300,000 daripada beberapa individu yang mengaji pekerja asing sebagai balasan untuk memudahkan permohonan pas pekerja yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Pegawai kanan itu direman enam hari dan warga asing selama lima hari, dengan perintah reman dikeluarkan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di sini.

Syarifah Fatimah Azura turut membenarkan seorang lagi pegawai penguat kuasa yang ditahan di pejabat SPRM Sarawak, direman tujuh hari.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Sarikei, Penolong Pendaftar Frouline Aging, membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap empat pegawai penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan bermula hari ini.

Menurut sumber, pegawai kanan itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada individu yang menggaji pekerja asing secara tidak sah sebagai balasan memudahkan permohonan pas pekerja asing dan dorongan supaya tidak mengambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

Di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pula, Majistret Mohamad Redza Azahar Rezali membenarkan permohonan reman empat hari terhadap seorang pegawai penguat kuasa kerana dipercayai meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM200,000 daripada individu yang menggaji pekerja asing secara tidak sah.

Seorang wanita yang dipercayai bersubahat dengan penguat kuasa itu direman empat hari oleh mahkamah sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman semua suspek bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 6:05 PM