GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengeluarkan perintah reman tiga hari terhadap seorang pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta wang berjumlah kira-kira RM30,000 daripada pemilik syarikat sebagai balasan menutup kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tajaan penerbitan sebuah buletin.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Khamis dibenarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, pagi ini.

Semalam, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang di sebuah kafe di Subang Jaya.

Menurut sumber, suspek dipercayai menghubungi pemilik syarikat berkenaan pada Oktober lalu dan meminta wang bagi penerbitan buletin yang dilaksanakan oleh syarikat itu untuk sebuah jabatan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 11:21 AM