SUSPEK direman empat hari bermula hari ini. FOTO Norzamira Che Noh
SUSPEK direman empat hari bermula hari ini. FOTO Norzamira Che Noh
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiga penjawat awam termasuk seorang wanita direman empat hari bermula hari ini, kerana disyaki menerima rasuah dalam dua kes berasingan.

Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Razali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini, tadi.

Kes pertama membabitkan dua penjawat awam iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun dan wanita berusia 46 tahun yang disyaki meminta dan memperoleh wang rasuah berjumlah RM182,060 daripada seorang lelaki.

Menurut jurucakap SPRM, ia sebagai balasan mengesyorkan dan mendapatkan kerja-kerja menaik taraf, menyelenggara bangunan dan infrastruktur bagi tahun 2020.

Katanya, kedua-dua individu itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 5.10 dan 5.15 petang semalam.

Sementara itu, kes kedua membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai menerima wang suapan kira-kira RM13,000 daripada seorang individu.

Sumber berkata, lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada Jun 2020 sebagai balasan tidak meneruskan siasatan dan melepaskan individu terbabit yang ditahan atas satu kesalahan jenayah.

Katanya, suspek yang bertugas di satu daerah di Selangor ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 4 petang semalam.

Kedua-kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 3:18 PM