Kampung Bakalau yang terletak berhampiran Sungai Padas terjejas teruk akibat banjir besar di daerah ini. FOTO Juwan Riduan
Kampung Bakalau yang terletak berhampiran Sungai Padas terjejas teruk akibat banjir besar di daerah ini. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Beaufort: Banjir yang menjejaskan hampir keseluruhan daerah ini dipercayai berpunca daripada pelepasan air daripada Stesen Janakuasa Hidro Pangi di Tenom.

Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun berkata, ia hasil siasatan awal dijalankan pihaknya namun siasatan lanjut masih berjalan.

"Hampir semua kawasan termasuk Pejabat Daerah Beaufort dinaiki air. Petugas barisan hadapan termasuk pasukan keselamatan dan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga tidak dapat menjalankan tugas.

"Ia bukan saja menjejaskan keselamatan penduduk malah memberi kesan kepada ekonomi," katanya ditemui hari ini.

Pada masa sama, menurut beliau, masalah banjir yang menjejaskan hampir keseluruhan daerah ini akan dibawa ke mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah sebelum dirujuk ke peringkat kerajaan negeri.

Abdul Imam berkata, situasi banjir juga semakin membimbangkan berikutan paras air terus meningkat walaupun cuaca cerah.

"Masalah banjir itu turut menjejaskan 95 peratus Klias, Lumadan serta Membakut.

"Kita harap perkara ini dapat diselesaikan bagi mengelakkan terganggunya ekonomi serta sistem pentadbiran di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 8:16 PM