ANGGOTA APM Beaufort membantu memindahkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir. FOTO Ihsan APM Beaufort
ANGGOTA APM Beaufort membantu memindahkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir. FOTO Ihsan APM Beaufort
Izwan Abdullah

Beaufort: Seramai 33 mangsa banjir membabitkan 12 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir di sini, petang tadi.

Mangsa terdiri daripada 17 dewasa dan 16 kanak-kanak itu adalah dari Kampung Bakalau iaitu antara 45 kawasan terjejas banjir akibat limpahan Sungai Padas sejak semalam.

Mereka adalah kumpulan pertama dipindahkan di PPS berkenaan sejak ia dibuka semalam.

Sebelum ini, mangsa banjir dilaporkan takut untuk berpindah kerana bimbang dijangkiti Covid-19 berikutan situasi pandemik itu yang masih membimbangkan.

Bagaimanapun, Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun berkata, pihaknya memberi jaminan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan di PPS untuk keselamatan mangsa banjir.

Sementara itu, laporan terbaharu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort setakat jam 7 malam ini menyenaraikan 45 kawasan terjejas banjir berbanding 44 kawasan siang tadi.

Hampir seluruh daerah ini termasuk kawasan pekan dilanda banjir dengan paling banyak terjejas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan berikutan kedudukannya di kawasan lembangan Sungai Padas.

Jurucakap APM Beaufort, berkata paras Sungai Padas masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 9.33 meter setakat jam 6 petang tadi.

Paras itu meningkat sedikit berbanding 9.3 meter yang direkodkan pada jam 3 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:55 PM