JALAN masuk ke pekan Beaufort turut ditenggelami banjir berikutan hujan sejak beberapa hari lalu. FOTO JUWAN RIDUAN
JALAN masuk ke pekan Beaufort turut ditenggelami banjir berikutan hujan sejak beberapa hari lalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Dua helikopter dikendalikan syarikat Sabah Air digunakan untuk menghantar bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, khidmat pengangkutan udara digunakan bagi mempercepatkan penghantaran bantuan kepada mangsa terutama di kawasan terputus hubungan.

"Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah meluluskan 2,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu masing-masing 1,000 bakul makanan di Tenom dan Beaufort termasuk Membakut.

"Bantuan makanan ini akan diagihkan kepada mereka yang terputus perhubungan darat di beberapa kawasan di Tenom, manakala bagi Sipitang dan Keningau, bantuan makanan akan diurus Jawatankuasa Bencana Daerah masing-masing.

"Kerajaan akan mendapatkan bantuan pengangkutan udara pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehingga 9 pagi hari ini, seramai 1,447 mangsa banjir ditempatkan di 11 PPS di Tenom, Beaufort dan Sipitang, membabitkan 373 KIR.

Banjir yang bermula kelmarin itu menjejaskan 68 kampung di Beaufort manakala 33 kampung di Tenom, selain beberapa kampung di Keningau dan Sipitang.

Selain itu, beberapa kawasan di Penampang dan Putatan turut dilanda banjir kilat pada Rabu lalu berpunca daripada hujan lebat lebih dua jam.

Berikutan situasi itu, Hajiji berkata, Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah dan di peringkat daerah yang terkesan akibat banjir sudah diaktifkan serta-merta.

"Saya mengarahkan semua pegawai daerah di kawasan terjejas banjir agar mengaktifkan jawatankuasa bencana masing-masing selama 24 jam.

"Ini bagi memastikan semua mangsa banjir dapat segera dipindahkan termasuk pemberian bakul makanan. Saya meminta penduduk di kawasan berisiko tinggi banjir agar segera berpindah jika diminta berbuat demikian.

"Apa yang penting saya mahu bantuan makanan dan keselamatan penduduk diutamakan. Saya mengarahkan daerah lain yang berisiko banjir agar sentiasa bersiap sedia susulan musim hujan sejak akhir-akhir ini," katanya.

Keadaan banjir terutama di Tenom dan Beaufort dilaporkan masih kritikal dengan paras Sungai Padas yang menjadi punca air melimpah masih melebihi paras bahaya pada 11 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 12:56 PM