ANGGOTA APM memantau keadaan banjir di sekitar Beaufort. FOTO Ihsan APM Beaufort
ANGGOTA APM memantau keadaan banjir di sekitar Beaufort. FOTO Ihsan APM Beaufort
Izwan Abdullah

Beaufort: Penduduk terjejas banjir di daerah ini bimbang untuk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana mungkin dijangkiti wabak Covid-19.

Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun berkata, beberapa penduduk menolak untuk berpindah ketika diminta berbuat demikian malam tadi.

Katanya, kebimbangan itu disebabkan daerah ini dikategorikan sebagai zon jingga penularan wabak Covid-19.

"Penduduk bimbang mereka mungkin dijangkiti Covid-19 jika berada di PPS dan tidak mahu berpindah walaupun kediaman dilanda banjir.

"Bagaimanapun, kita sudah mengingatkan penduduk bahawa prosedur operasi standard (SOP) di PPS adalah ketat.

"Sebelum masuk, penduduk akan diperiksa dan kalau ada gejala, mereka tidak akan ditempatkan di PPS, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah bersedia membuat pemantauan di sana," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai operasi pemindahan akibat banjir yang kini melanda 44 kawasan di sekitar daerah ini sejak semalam.

Setakat semalam, Beaufort merekodkan enam kes baharu positif Covid-19 dan antara tiga daerah dalam zon jingga di Sabah selain Kota Marudu dan Tenom.

Secara keseluruhan, 19 daerah berada dalam zon merah Covid-19 di Sabah, manakala hanya empat daerah berada dalam zon kuning dan satu hijau.

Abdul Imam berkata, setakat ini belum ada penduduk dipindahkan ke PPS di Dewan Datuk Mohd Dun Banir yang mampu menampung sehingga 100 mangsa banjir selepas mengambil kira penjarakan fizikal dan semua SOP mengelak penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 4:10 PM