ANTARA mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS. FOTO ihsan JPBD
ANTARA mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS. FOTO ihsan JPBD
Juwan Riduan


Beaufort: Sebanyak 52 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Selagon, sejak 9 malam tadi.

Tindakan itu diambil selepas banjir dilaporkan menenggelamkan 55 kawasan kampung di daerah Beaufort dan lima di daerah Membakut.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort berkata, mengikut laporan, mangsa pemindahan adalah 193 individu membabitkan 26 lelaki, 58 wanita dan 109 kanak-kanak termasuk 21 bayi dari beberapa kampung terjejas.

"Cuaca hujan lebat di daerah Tenom, Isnin lalu, mengakibatkan paras air Sungai Padas berada pada tahap bahaya dengan bacaan 9.6 atas min aras laut (AMSL).

"Selain itu, penambahan air dari Sungai Kemabong dan Sungai Pegalan turut menyumbang kepada kenaikan paras di Sungai Padas ini," katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan empangan Hydro Pangi juga terpaksa membuka tiga pintu empangan bagi mengurangkan kuantiti air di empangan berkenaan.

Oleh itu katanya, semua air berkenaan menyebabkan asungai Padas melepasi paras bahaya.

Sementara itu, jurucakap JPBD berkata, kejadian banjir turut menjejaskan 13 sekolah serta tadika sekitar Beaufort dan Membakut.

Katanya, antara sekolah terjejas adalah Tadika Kemas Pintas, Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Klias Baru, Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Baru, SK Lago, SK Suasa, SK Mempagar, SK St Paul dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lian Hwa.

"Selain itu, turut terjejas pusat Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Kg Lago, KAFA Kg Suasa, KAFA Kg Bakalau, KAFA Kg Luagan dan KAFA Kg Kuala Balik serta Kg Brunei," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 12:05 PM