Borhan Aman Shah
Borhan Aman Shah
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Sepat Borhan Aman Shah memaklumkan sudah memberikan kerjasama penuh kepada polis atas dakwaan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan ziarah Aidilfitri.

Menerusi hantaran di Facebook, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Selangor itu turut menyatakan kekesalan mengenai insiden terbabit.

"Merujuk kepada tersebarnya gambar saya di media sosial bersama tetamu yang singgah berziarah di rumah ketika sambutan Aidilfitri yang lalu, saya sudah pun memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, semalam.

"Saya dengan ini ingin menyatakan kekesalan yang mendalam atas perkara ini serta berjanji bahawa perkara seumpama ini tidak akan berulang.

"Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua pihak di atas kesalahan ini, malah mengakui kesilapan serta akan mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung perkara ini," tulisnya di Facebook PKM Dun Tanjong Sepat/Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed menerusi sidang media secara maya memaklumkan kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17, PU (A) 225/2021 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.

"Kita akan panggil semua individu di dalam gambar berkenaan termasuk Exco (Pengerusi Jawatankuasa Tetap) berkenaan.

"Kalau ada kesalahan kita akan mengambil tindakan mengikut peruntukan yang ada," katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 6:20 PM