RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Polis Klang Selatan sedang menyiasat sambutan Aidilfitri yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah kediaman mewah di Telok Gong, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular di laman sosial memaparkan sambutan Aidilfitri di sebuah rumah, Isnin lalu.

"Polis menjalankan siasatan di bawah Perkara 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP.

"Siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, polis akan memanggil semua individu yang ada dalam rakaman video dan mengaku hadir pada majlis itu untuk membantu siasatan.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter berkongsi video memaparkan Instastory pengguna Instagram yang jelas melanggar SOP ketika tempoh PKP.

Menerusi video berkenaan, dia mendakwa kelihatan ramai orang berkumpul dalam satu ruangan rumah tanpa memakai pelitup muka sedangkan SOP jelas mengatakan tiada aktiviti ziarah dibenarkan.

Perkongsian video mendapat perhatian dan netizen menzahirkan rasa tidak puas hati kerana masih ada pihak yang melanggar SOP tanpa rasa bersalah.

Difahamkan individu terbabit adalah seorang individu berpengaruh dan dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 11:43 AM