GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: Seramai 17 individu berusia antara 18 hingga 86 tahun dikompaun RM42,000 berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di sebuah tempat pengebumian di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pada 11 pagi semalam polis menerima aduan daripada orang awam mendakwa terdapat sekumpulan individu berkumpul di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, pemeriksaan mendapati seramai 11 lelaki dan enam wanita tempatan mengadakan upacara pengurusan mayat.

Menurutnya, mereka yang hadir terdiri daripada seorang pengurus tempat pengebumian berkenaan manakala 16 individu terdiri daripada ahli keluarga si mati.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 18 hingga 86 tahun didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu bilangan kehadiran ahli keluarga yang dibenarkan adalah tidak melebihi 10 individu.

"Tindakan kompaun diambil ke atas kesemua mereka mengikut Peraturan 16, P.U (A) 225/2021 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.

"Jika disabitkan kesalahan penganjur boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 manakala individu dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan media.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 9:04 PM