Kenderaan yang dipercayai membawa keluarga Neelofa ketika tiba di IPD Brickfields hari ini. Foto Eizairi Shamsudin
Kenderaan yang dipercayai membawa keluarga Neelofa ketika tiba di IPD Brickfields hari ini. Foto Eizairi Shamsudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Usahawan dan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa bersama sembilan lagi ahli keluarganya selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, hari ini.

Kesemua mereka yang tiba di IPD Brickfields pada 2.51 petang hadir bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan Aidilfitri di kediaman mereka di Taman Tun Dr Ismail, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, semua individu yang dipanggil memberikan kerjasama yang baik ketika memberi keterangan.

"Mereka dipanggil bagi membantu siasatan berhubung satu video yang tular di media sosial.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam satu kenyataan.

Ahli keluarga selebriti berkenaan dilihat hadir ke IPD Brickfields dengan menaiki sebuah kenderaan Toyota Alphard warna putih.

Sebelum ini, polis menerima satu laporan polis dibuat berhubung video yang tular di media sosial berkenaan.

Video tular yang berdurasi selama 26 saat itu memaparkan ahli keluarga selebriti berkenaan didapati berkumpul di sebuah rumah ketika sambutan Aidilfitri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:42 PM