NEELOFA
NEELOFA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap keluarga Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali Neelofa kerana didakwa melanggar prosedur operasi satandard (SOP) ketika sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, terdapat video tular yang dimuat naik melalui akaun Instagram kakak kepada selebriti berkenaan yang merakamkan detik sambutan Aidilfitri, Khamis lalu di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

"Susulan itu satu laporan polis dibuat berhubung video yang tular di media sosial berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati video tular yang berdurasi selama 26 saat itu memaparkan ahli keluarga selebriti berkenaan berkumpul di sebuah rumah ketika sambutan Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, video terbabit dikongsi oleh netizen melalui Twitter.

"Kes masih dalam penyiasatan polis dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular membabitkan keluarga selebriti tempatan ini dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Berita berkaitan

Neelofa, keluarga buat hal lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 1:48 PM