GAMBAR hiasan. Sambutan Hari Gawai di  Kampung Benuk pada 2019. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Sambutan Hari Gawai di Kampung Benuk pada 2019. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sambutan Hari Gawai pada 1 Jun ini hanya dibenarkan dirai sehari sahaja dengan tiada aktiviti ziarah atau 'ngabang' diadakan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu berkuatkuasa di semua kawasan yang sedang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, mengikut SOP yang ditetapkan JPBN Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) itu, sambutan hanya dibenarkan kalangan ahli keluarga serumah sahaja.

"Bagi yang tinggal di rumah panjang, sambutan hanya dibenarkan kalangan keluarga sebilik (satu unit kediaman dalam rumah panjang) sahaja.

"Ketetapan sama juga harus dipatuhi ketika sambutan pra Gawai pada malam 31 Mei," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Upacara ritual miring pula hanya dibenarkan kawasan PKPB sahaja dan hendaklah diadakan di suatu tempat atau ruai yang ditetapkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan kehadiran dihadkan kepada 20 orang sahaja.

"Pelitup muka adalah diwajibkan sepanjang upacara dengan penjarakan fizikal satu meter harus diamalkan dan setiap yang hadir harus mengimbas kod MySejahtera.

"Individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk atau selesema dilarang untuk mengikuti upacara itu," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai juga tidak dibenarkan balik kampung atau merentas zon sepanjang sambutan Hari Gawai.

"Majlis perkahwinan, pertunangan, majlis kesyukuran, upacara memandikan anak di sungai, sabung ayam dan sukaneka juga tidak dibenarkan.

"Pihak JKKK sama ada di kampung atau rumah panjang harus memantau dan memastikan pematuhan SOP sepanjang sambutan Hari Gawai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 1:53 PM