DATUK Amar Douglas Uggah Embas. FOTO Ihsan UKAS
DATUK Amar Douglas Uggah Embas. FOTO Ihsan UKAS
Mohd Roji Kawi


AIDILFITRI yang dijangka disambut pada 24 Mei ini dan Hari Gawai pada 1 Jun hanya dibenarkan disambut sehari sahaja di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.

"Sambutan pula hanya dibenarkan membabitkan ahli keluarga terdekat dengan jumlah yang hadir tidak boleh melebihi 20 orang sehari," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di Petrajaya.

Mengenai pergerakan antara daerah pula, beliau berkata, ia memerlukan permit daripada polis.

"Bagaimanapun, bagi penjawat awam dan kakitangan perkhidmatan penting yang tinggal di antara dua daerah seperti Kuching-Samarahan, Kuching-Serian, Bau-Kuching dan lain-lain, mereka hanya perlu menunjukkan pas jabatan atau surat arahan daripada majikan untuk pergi dan balik kerja.

"Selain daripada kakitangan perkhidmatan penting, yang lain hendaklah memohon permit daripada polis," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata, semua hotel dan rumah penginapan di Sarawak dibenarkan beroperasi mulai semalam.

Bagaimanapun, semua hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin Covid-19 tidak dibenarkan menerima tetamu baharu kecuali statusnya sebagai pusat kuarantin dibatalkan menerusi pemberitahuan yang diwartakan. "Pengurusan hotel mesti memastikan penjarakan sosial yang sesuai antara tetamu dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Pekerja hotel dan tetamu mesti memakai pelitup muka sepanjang masa dan semua arahan keselamatan dan kesihatan serta prosedur operasi standard (SOP) pihak kesihatan mesti dipatuhi dengan ketat," katanya.

Menurut beliau, kemudahan umum seperti gimnasium, kolam renang, bilik solat, sauna, spa, pusat perniagaan, dewan persidangan dan bilik mesyuarat adalah tidak dibenarkan untuk digunakan.

"Restoran dan kafetaria di hotel dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 10 malam untuk dibawa pulang, penghantaran, perkhidmatan bilik dan ala carte makan di dalam hotel sahaja.

"Makan malam tertakluk kepada keperluan dan perlu mematuhi penjarakan sosial," katanya.

Tetamu di hotel pula harus menginap di bilik masing-masing dan tidak dibenarkan berkumpul di mana ruang di hotel penginapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 4:24 PM