HANAFIAH Hanafi yang maut ditikam bekas adik ipar. FOTO Amir Mamat.
HANAFIAH Hanafi yang maut ditikam bekas adik ipar. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Jasin: Mangsa bunuh di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pernah bertengkar beberapa kali dengan bekas adik iparnya yang juga suspek utama kes terbabit, sejak tiga hari lalu.

Pertengkaran berkenaan dikatakan berkaitan dengan perebutan dua anak suspek yang pernah mendirikan rumah tangga dengan adik perempuan mangsa sebelum bercerai beberapa bulan lalu.

Menurut jiran yang enggan dikenali, suspek berusia 32 tahun itu pernah datang ke rumah bekas isterinya itu beberapa hari lalu untuk mengambil dua anak mereka yang masing-masing berusia lapan dan 10 tahun itu, namun ahli keluarga wanita berkenaan enggan menyerahkannya.

Katanya, keesokan harinya, suspek berkenaan datang semula ke rumah terbabit dengan tujuan yang sama, namun gagal.

"Berikutan itu, mangsa yang dikenali Hanafiah Hanafi, 36, dikatakan meminta bantuan beberapa penduduk untuk mengawasi kediamannya untuk menghalang suspek daripada terus mengganggu keluarganya sejak malam tadi, namun suspek secara tiba-tiba muncul di rumah itu kira-kira jam 7 pagi hari ini.

"Berlaku pertengkaran antara suspek dengan beberapa ahli keluarga terbabit, sebelum mangsa yang juga bekas abang iparnya datang untuk menenangkannya.

"Suspek mungkin bertindak nekad dengan menikam beberapa kali di bahagian tubuh mangsa menggunakan sebilah pisau kerana gagal mencapai keputusan untuk membawa pulang dua anaknya untuk menyambut Aidilfitri bersama," katanya.

Menurutnya, mangsa dikatakan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta, sementara mangsa dilihat terbaring berlumuran darah di halaman rumah.

Portal Harian Metro melaporkan seorang lelaki maut ditikam bekas adik iparnya pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dilaporkan berkata, dalam kejadian 7.30 pagi di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, mangsa berusia 36 tahun itu maut ditikam selepas berlaku pertengkaran dan pergelutan dengan suspek.

Suspek bertindak menikam mangsa di bahagian rusuk kanan manakala beberapa ahli keluarga yang lain sempat melarikan diri.

Berita berkaitan:

  • Berebut anak, bekas abang ipar maut ditikam pagi Syawal
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 3:59 PM