GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


ANGKARA perselisihan faham seorang lelaki tergamak menikam kakaknya sehingga maut di Kampung Kemansur, Bentong, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa Fan Suik Moi, 56, dikatakan ditikam beberapa kali menggunakan pisau oleh adiknya yang juga suspek berusia 55 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan berlaku pergaduhan dalam rumah antara mangsa dan suspek sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Polis berjaya menahan suspek dan merampas pisau dipercayai digunakan lelaki itu untuk menikam mangsa. Mangsa dikejarkan ke Hospital Bentong bagi menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada 6 pagi tadi selepas mengalami pendarahan serius akibat beberapa tikaman di badannya,” katanya dalam kenyataan media di Bentong, hari ini.

Othman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati berlaku pertengkaran dan perselisihan faham antara mangsa dan adik lelakinya sebelum mangsa ditikam.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat ahli keluarga mangsa berada di rumah berkenaan dan cuba menghalang suspek daripada terus menikam mangsa sebelum dia ditahan polis.

“Bedah siasat akan dijalankan pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 11:07 AM