ABDUL Rozak (dua dari kanan) bersama pegawai dan anggota memeriksa bekalan makanan kering yang diletakkan di kiosk makanan percuma untuk asnaf, fakir miskin dan golongan memerlukan. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
ABDUL Rozak (dua dari kanan) bersama pegawai dan anggota memeriksa bekalan makanan kering yang diletakkan di kiosk makanan percuma untuk asnaf, fakir miskin dan golongan memerlukan. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut mengambil inisiatif membuka kiosk makanan percuma untuk membantu golongan asnaf, fakir miskin dan golongan memerlukan di daerah itu sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, barangan keperluan makanan itu hasil sumbangan anggota dan pegawai polis sebagai satu tanggungjawab sosial membantu masyarakat setempat.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat meringankan sedikit beban penerima menghadapi cabaran berpuasa dalam musim pandemik Covid-19.

"Kita buka kiosk ini bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang setiap hari terbuka kepada dan sesiapa sahaja yang memerlukan sumbangan makanan.

"Walaupun tiada had jumlah barang yang boleh diambil tetapi mereka perlu ikhlas dengan mengambil sekadar keperluan harian supaya lebih ramai penerima lain mendapat manfaat," katanya ketika ditemui media di IPD Besut di Kampung Raja, di sini.

Abdul Rozak berkata, keperluan makanan disediakan di bank makanan itu berbentuk makanan kering asas dapur seperti minyak, beras, gula, kicap, susu dan biskut kering.

"Kita turut mengalukan sumbangan daripada orang ramai sama ada berbentuk makanan untuk diletakkan di kiosk itu atau dalam bentuk kewangan.

"Jika ada pihak menyumbang wang kita akan guna untuk tambah stok dengan tolong beli barangan keperluan yang cepat habis.

"Hebahan program ini juga dibuat melalui media sosial dan laman Facebook rasmi IPD Besut supaya matlamat membantu lebih ramai orang tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 3:20 PM