Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Dua termasuk seorang pelajar tingkatan lima ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes rampasan pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM80,000 di Kampung Jebak Puyuh, di sini, semalam.

Remaja berusia 17 tahun dan pemandu lori berusia 40 tahun yang juga jiran sekampung ditahan ketika berada dalam sebuah lori lima tan di tepi jalan tidak bertar di kampung berkenaan pada 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pemeriksaan terhadap lori itu dibuat susulan risikan unit pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hasil maklumat orang awam.

"Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 20 pelbagai jenis mercun antaranya mercun Papan, Happy Boom yang ditutup dengan kanvas di bahagian belakang lori itu.

"Lori itu hanya membawa bekalan mercun sahaja, jika polis atau penguat kuasa tengok dari luar lori tidak buka kanvas tidak akan perasan mercun kerana kotak itu diletak di bahagian atas seolah-olah barang makanan," katanya kepada media ketika sidang akhbar rampasan mercun di IPD Besut, Kampung Raja, hari ini.

Rozak berkata, ia dipercayai rampasan terbesar mercun di Terengganu tahun ini.

Menurutnya, selain mercun, lori bernilai RM60,000 turut dirampas menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM140,000.

"Kita percaya bekalan mercun itu diperoleh dari negara sempadan berdasarkan tulisan pada kotak untuk diedarkan di daerah ini sempena perayaan Aidilfitri.

"Suspek juga bukan dari Besut turut dikompaun kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan rentas sempadan tanpa kebenaran.

"Dipercayai suspek menggunakan jalan itu untuk masuk ke laluan tikus tetapi kita sudah tutup semua jalan tikus menghubungkan Terengganu dengan Kelantan," katanya.

Katanya, hasil siasatan lanjut kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing negatif.

ABDUL Rozak (kanan) memeriksa mercun yang dirampas. FOTO Ghazali Kori.
ABDUL Rozak (kanan) memeriksa mercun yang dirampas. FOTO Ghazali Kori.

"Berdasarkan pengakuan, suspek hanya ditugaskan untuk menghantar barang ke Besut dan kita masih menjejaki milik siapa barang itu dan dari mana diperoleh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Kita akan dapatkan perintah reman hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 4:28 PM