GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Polis sedang mengesan seorang doktor wanita bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu jam 4.40 petang melalui panggilan telefon.

"Pengadu warga tempatan yang bekerja sebagai doktor di klinik kesihatan ibu dan anak Jitra, Kedah memaklumkan pesakitnya (remaja perempuan) ketika pemeriksaan mengadu sakit perut, loya dan tidak datang bulan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pesakit itu tidak mengandung dan memaklumkan kepada doktor dia pernah melakukan hubungan seks bersama teman lelaki," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, siasatan mendapati saksi penting dalam kes ini adalah seorang doktor bernama Fatimatuz Zahra Abu Bakar yang bertugas semasa menerima pesakit berkenaan.

"Hebahan ini bertujuan meminta doktor itu menghadiri diri ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor atau menghubungi segera Pegawai Penyiasat Jenayah iaitu Inspektor Zulaikha Mohamed di talian 03-60641222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 8:44 AM