GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak mencatat jumlah kematian tertinggi harian akibat wabak Covid-19 dengan enam kes dilaporkan, hari ini.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 162 sejak kes kematian pertama direkodkan di Sarawak pada 17 Mac tahun lalu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, empat daripada kematian yang dilaporkan hari ini berlaku di Kapit, saru di Sarikei dan satu lagi di Bintulu.

Kes kematian pertama di Kapit hari ini membabitkan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun, kedua pula membabitkan wanita berusia 58 tahun manakala kes ketiga juga wanita berusia berumur 35 tahun dan kematian keempat membabitkan wanita berusia 72 tahun.

Kematian kelima yang berlaku di Sarikei membabitkan seorang wanita berusia 48 tahun manakala satu kes di Bintulu membabitkan seorang lelaki berusia 72 tahun.

Sementara itu, Sarawak terus menjadi antara penyumbang tertinggi kes positif harian Covid-19 negara dengan 615 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 28,529.

Berikutan situasi kes positif di Sarawak masih tinggi, JPBN Sarawak hari ini meluluskan prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kuching, Miri, Sibu, Betong, Bintulu, Sarikei dan Kapit.

Justeru, JPBN Sarawak turut melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak, mulai 27 April, 12.01 tengah malam hingga 17 Mei, 11.59 malam.

Selain itu, sebagai langkah pencegahan kemasukan varian baharu (VoC) dari India, JPBN memutuskan untuk menyekat kemasukan pengembara dan mereka yang pernah berada di India dalam tempoh 30 hari ke Sarawak berkuat kuasa 27 April.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 10:17 PM