GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak membenarkan kemasukan semula pekerja asing berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat mengenai pekerja asing yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini.

"Keputusan dibuat selepas menerima banyak permohonan daripada pihak industri yang memerlukan pekerja asing.

"Untuk itu "State Localization Committee" telah meluluskan sebanyak 27,000 permohonan," katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keperluan pekerja asing itu untuk sektor pertanian, perladangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

"Bagi sektor perkhidmatan, ia meliputi pengangkutan, restoran, kuari serta perlombongan.

"Pengambilan pekerja asing pula tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah dikeluarkan oleh JPBN Sarawak," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut meluluskan pelaksanaan penstrukturan semula (recalibration) pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan pelan akan bermula 15 Mac hingga 30 Jun ini.

"SOP mengenainya akan disediakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (JIMS) dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTKS)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pergerakan antara zon di Sarawak masih tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran daripada polis berkuat kuasa sehingga 15 Mac ini.

Hari ini Sarawak mencatatkan 139 kes baharu COVID-19 dikesan di Sarawak dengan 39 kes dilaporkan di Sibu Kuching (29), Bintulu (17), Betong (13), Kapit (6), Bau (6), Meradong (5), Miri (5), Selangau (5), Pusa (4), Serian (4), Sebauh (2), Julau (1), Sarikei (1), Asajaya (1) dan Song (1).

Dengan kes terbaharu itu, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 10,063 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:44 PM