GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


BUAT pertama kali dalam tempoh 53 hari sejak 13 Mac lalu, Sarawak hari ini tidak mencatatkan kes positif pandemik Covid-19.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata, seramai 19 pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

"Ini satu petanda yang amat baik dan jumlah yang sembuh juga amat melegakan. Daripada 19 yang dibenarkan keluar hospital hari ini, 18 adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala seorang lagi dari Hospital Miri," katanya.

Bagi kes individu dalam siasatan (PUI) pula, sebanyak 61 kes dilaporkan hari ini manakala kes yang masih menunggu keputusan ujian makmal adalah sebanyak 95.

Sehingga kini, Sarawak mencatatkan sebanyak 523 kes positif Covid-19 sejak kes pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 17 pesakit meninggal dunia akibat pandemik berkenaan, manakala 301 lagi disahkan sembuh dan sudah dibenarkan keluar hospital.

Seramai 202 lagi masih menerima rawatan dengan 176 dirawat di HUS, 12 orang di Hospital Sibu, 10 orang di Hospital Bintulu, manakala empat lagi di Hospital Miri.

Sementara itu, dua kawasan kekal sebagai zon merah di Sarawak iaitu Kuching yang merekodkan 322 kes positif dengan 10 kematian dan Kota Samarahan yang mencatatkan 105 positif dengan empat kematian.

Sebanyak 28 daerah pula dikategorikan sebagai zon hijau iaitu Lawas, Mukah, Matu, Sarikei, Limbang, Lundu, Saratok, Pusa, Kabong, Lubok Antu, Meradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Belaga, Song, Bukit Mabong, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usan.

Sepuluh daerah lagi berada dalam zon kuning iaitu Miri, Bau, Asajaya, Simunjan, Serian, Tebedu, Betong, Sri Aman, Bintulu dan Sibu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:27 PM