PKPB di Sarawak dilanjutkan 21 hari lagi mulai 18 Mei hingga 7 Jun. FOTO Arkib NSTP
PKPB di Sarawak dilanjutkan 21 hari lagi mulai 18 Mei hingga 7 Jun. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak yang tamat Isnin ini dilanjutkan 21 hari lagi mulai 18 Mei hingga 7 Jun.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menilai situasi kes positif di Sarawak masih tinggi.

"Maklumat tambahan lengkap berhubung prosedur operasi standard (SOP) PKPB lanjutan itu akan dipaparkan di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarawak terus mencatat tiga angka kes harian Covid-19 dengan 324 kes baharu dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan pandemik itu di negeri ini kini berjumlah 37,978 kes.

Sejumlah 237 atau 73.15 peratus daripada jumlah kes itu dikesan di daerah Miri, Bintulu, Sibu dan Kapit.

Miri mencatat 146 kes, diikuti Bintulu (36), Sibu (33), Kapit (22), Selangau (16), Pusa (13), Kuching (13), Saratok (10), Mukah (10), Beluru (5), Belaga (3), Subis(3), Sri Aman (2), Matu (2), Pakan (2), Sebauh (2), Sarikei (2), Bukit Mabong (1), Betong (1), Meradong (1) dan Song (1).

Sementara itu, JPBN Sarawak turut mengisytiharkan enam lokaliti di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Lokaliti terbabit ialah Kampung Jabai, Bintulu yang dikuatkuasakan PKPD mulai 14 hingga 27 Mei; Kampung Hulu Sebauh, Bintulu (14 hingga 27 Mei 2021); Rumah Panjang Ayup, Nangga Lassi Mit, Julau (15 hingga 31 Mei 2021); Rumah Panjang Nyandang Lasi, Julau (15 hingga 31 Mei 2021); Rumah Panjang Berayun, Sungai Nansang Tugong, Pakan (15 hingga 31 Mei 2021) dan Rumah Panjang Douglas Jenuang, Pakan (15 hingga 31 Mei 2021).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:24 PM