FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penutupan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sarawak dilanjutkan mulai 4 Mei hingga 10 Mei depan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan KPM serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, turut ditutup dalam tempoh berkenaan semua kategori institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk Sekolah Antarabangsa.

"Dalam tempoh lanjutan penutupan sekolah itu, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan seperti dilaksanakan sebelum ini.

"Pelajar Tingkatan 6 yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 3 (Gantian) dibenarkan hadir ke sekolah sehingga 27 Mei 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, JPBN mengumumkan penutupan sekolah di Sarawak bermula 20 April lalu sehingga 4 Mei.

Sementara itu, sebanyak 416 kes baharu jangkitan Covid-19 dikesan di Sarawak, hari ini dengan 48 peratus kes tertumpu di daerah Kapit, Sibu, Bintulu, Meradong dan Miri.

Kapit mencatat jumlah tertinggi hari ini dengan 53 kes, diikuti Sibu (46), Bintulu (38), Meradong (33), Miri (30), Kuching (29), Serian (24), Saratok (21), Beluru (18) dan Kanowit (15).

Selain itu, Samarahan (12), Mukah (12), Selangau (10), Sarikei (10), Song (9), Bau (9), Belaga (8), Julau (5), Tanjung Manis (5), Pakan (5), Lundu (5), Bukit Mabong (4), Sri Aman (3), Limbang (3), Tebedu (3), Matu (2), Kabong (1), Tatau (1), Dalat (1) dan Sebauh (1).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 8:32 PM