ANGGOTA bomba membawa keluar mangsa yang tidak sedarkan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membawa keluar mangsa yang tidak sedarkan. FOTO Ihsan Bomba
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang lelaki warga India maut terhidu sisa bahan kima ketika melakukan kerja pembersihan lori tangki di pusat cuci kenderaan di Jalan Seri Perkasa 1/1, Taman Tampoi Indah, di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Magehindran meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi rakan senegara yang turut sama melakukan kerja pembersihan itu terselamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.58 pagi berhubung kejadian itu sebelum 12 anggota dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian, tiga pekerja warga India terbabit ditemukan di atas sebuah lori tangki jenis Scania.

Katanya, tangki lori yang kosong itu adalah bekas penyimpanan bahan kimia jenis Fatty Alcohol UN No 3082.

"Kami difahamkan, mangsa mencurah air ke dalam tangki lori itu pada 7 pagi dan masuk ke dalam tangki berkenaan bersama dua rakan sekerjanya pada 9 pagi untuk kerja pembersihan.

"Bagaimanapun, tindakan itu membuatkan mangsa tidak sedarkan diri, manakala rakan sekerja mangsa sempat keluar dan berada dalam keadaan separuh sedar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, mangsa dikenali sebagai Magehindran yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, seorang lagi mangsa dikenali S Balamurali, 32, berada dalam separuh sedar, manakala S Thangamali, 34, dalam keadaan sedar, kedua-dua mereka turut diberikan rawatan kecemasan.

"Mangsa yang separa sedar kini berada di zon merah Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mangsa yang sedar dirawat di hospital yang sama.

"Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) membuat tinjauan di kawasan kejadian dan mendapati persekitaran lokasi itu adalah selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 5:39 PM