KEADAAN lori tangki minyak sawit FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN lori tangki minyak sawit FOTO Ihsan Bomba
Balqis Jazimah Zahari


BOMBA mengambil masa lebih dua jam bagi membersihkan tumpahan 10,000 liter minyak sawit dalam kejadian kemalangan jalan raya di kilometer (km) 290 Lebuhraya PLUS arah Utara, Ipoh awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, pemandu lori kontena melanggar belakang lori tangki muatan minyak sawit hingga berlaku kebocoran minyak.

Jurucakap daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai berkata, balai menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.44 pagi dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya dilokasi didapati kemalangan jalanraya membabitkan lori kontena melanggar belakang lori tangki yang membawa muatan minyak sawit.

“Terdapat seorang mangsa pemandu lori kontena cedera yang sudah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan berlaku kebocoran pada lori tangki minyak sawit dan operasi pembersihan tumpahan minyak dijalankan sepanjang 1 km.

“Dibantu oleh anggota dari BBP Gopeng anggota bertindak menyembur air menggunakan dua aliran hos 200 kaki dari jentera Simpang Pulai dan dua aliran hos 200 kaki dari air tangki jentera Gopeng.

“Keseluruhan operasi berkenaan tamat pada 7.50 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 11:38 AM