RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO Arkib NSTP
RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pereka grafik ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.

"Saya sahkan dia ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tetapi kes disiasat oleh Bukit Aman," katanya.

Terdahulu tular di Twitter yang memaklumkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Fahmi Reza ditahan dan dibawa ke IPD Dang Wangi.

Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong.

Dakwanya, individu yang menggunakan nama Fahmi Reza bertindak demikian melalui satu entri yang dipercayai menghina Raja Permaisuri Agong.

Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas dilaporkan berkata, pihaknya melakukan pemantauan dan sememangnya individu berkenaan dipercayai sudah banyak kali menghasilkan lakaran kartun yang mengganggu sensitiviti perkauman dan agama masyarakat majmuk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 9:08 PM