FAHMI Reza. FOTO arkib NSTP
FAHMI Reza. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza yang direman sehari sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung hantaran karikatur monyet berpakaian seragam kuning yang dimuat naik di Facebook, dibebaskan hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Fahmi menerusi hantaran yang dimuat naiknya di Facebook.

Dalam hantaran itu, Fahmi secara sarkastik memuji layanan diterimanya sepanjang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Aku dah 'check out' (daftar keluar) dari Hotel (lokap) Dang Wangi! Pakej penginapan 2 hari 1 malam 'courtesy of Mojo Jojo'!

"Lokasi yang menarik, persekitaran yang sempurna dan kebajikan yang hebat. Makanan juga sedap, siap dapat pakej sahur dan iftar yang dihantar ke bilik.

"Akan datang semula nanti pada masa akan datang. Aku bagi empat bintang," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Fahmi ditahan di IPD Dang Wangi semalam, dan direman sehari bagi membantu siasatan kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dipetik berkata, hantaran karikatur monyet itu mendapat 12,000 maklum balas, 3,400 komen dan 966 perkongsian sejak dimuat naik Rabu lalu.

Menurutnya, hantaran itu juga mengundang kemarahan warganet yang menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ, Bukit Aman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 1:22 PM