AHMAD Fadhli Shaari membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook bernama Fahmi Reza kerana memuat naik status menghina Permaisuri Agong. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
AHMAD Fadhli Shaari membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook bernama Fahmi Reza kerana memuat naik status menghina Permaisuri Agong. FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini tampil membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook yang menggunakan nama Fahmi Reza kerana menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS berkata, Fahmi Reza memuat naik satu hantaran yang menghina Raja Permaisuri Agong dengan menulis 'This is dengki ke?'

"Walaupun tajuknya ringkas, pada saya ia mempunyai niat untuk menghina Raja Permaisuri Agong.

"Sepanjang pemantauan saya terhadap individu bernama Fahmi Reza ini, dia sudah banyak membuat lakaran kartun agak mengusik sensitiviti perkauman dan agama.

"Ini adalah had maksimum dan beliau tidak sepatutnya melakukan sehingga ke tahap menghina institusi beraja seperti ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli memohon pihak polis membuka kertas siasatan dan mengheret individu berkenaan ke muka pengadilan supaya perbuatan menghina secara keterlaluan itu dapat dielak dan menjadi pengajaran kepada pengguna Facebook lain.

"Walaupun ini negara demokrasi dan kita bebas bersuara untuk menyatakan hak dan sebagainya, tetapi ada had dan batasannya.

"Tidak boleh mengusik sensitiviti perkauman dan agama, apatah lagi menghina apa yang menjadi tunjang dalam Perlembagaan iaitu institusi beraja.

"Jadi ini salah satu pengajaran sepatutnya boleh diambil tindakan oleh pihak PDRM dan kalau kita tidak pertahankan, saya kira ini satu perkara sangat memalukan," katanya.

Menerusi status dimuat naik Fahmi Reza di Facebook, semalam dan dikongsi lebih 700 individu, ramai turut meninggalkan komen mengutuk tindakan individu berkenaan kerana menghina Raja Permaisuri Agong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:33 PM