Mohd Fadzil memantau  pengunjung di  bazar  Ramadan  Presint  3. FOTO SAMADI AHMAD
Mohd Fadzil memantau pengunjung di bazar Ramadan Presint 3. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis berpuashati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan Presint 3 di sini, berbanding hari pertama ia beroperasi pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, pemantauan pihaknya hari ini mendapati, keadaan lebih terkawal dan pengunjung dilihat mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, bermula hari ini juga, Perbadanan Putrajaya (PPj) menggunakan pas bernombor kepada pengunjung untuk mendapatkan juadah di bazar ini.

"Peringkat permulaan ini, kita membenarkan 800 pengunjung dalam satu-satu masa untuk masuk ke bazar Ramadan dan hasilnya sangat memuaskan kerana keadaan di bazar ini tidak lagi sesak seperti sebelum ini," katanya kepada media ketika melakukan pemantauan di bazar berkenaan.

Ada 160 gerai di bazar berkenaan dan ia beroperasi seawal jam 3 petang sehingga jam 8 malam, dengan penyeliaan PPj.

Mohd Fadzli berkata, pihaknya juga menempatkan anggota pematuhan SOP dan anggota trafik di bazar itu bagi mengawal kelancaran kenderaan.

"Pengunjung boleh mendapatkan pas bernombor di dua pintu masuk yang disediakan dan dikawal kakitangan PPj serta anggota Rela.

"Inisiatif penggunaan pas bernombor berkesan dalam mengawal kesesakan pengunjung. Jumlahnya mungkin akan ditambah jika ia berjalan lancar," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 8:06 PM