PENGUNJUNG mengimbas kod MySejahtera dan mengambil pas bernombor sebelum membeli juadah di Bazar Ramadan Kelana Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENGUNJUNG mengimbas kod MySejahtera dan mengambil pas bernombor sebelum membeli juadah di Bazar Ramadan Kelana Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Yusmizal Dolah Aling


Petaling Jaya: Penggunaan pas bernombor oleh pengunjung dewasa dan kanak-kanak akan membantu pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar Ramadan di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengarah Jabatan Perlesenannya Sharinaz Samsudin berkata, dengan adanya pas bernombor yang disediakan di laluan masuk, ia akan membantu pihaknya mengetahui jumlah pengunjung di sesuatu bazar.

Katanya, pihaknya peka dengan usaha mengekang penularan Covid-19 dan pematuhan SOP adalah satu daripada penekanan yang diberikan.

"Kita tidak mahu ada kluster bazar Ramadan. Sebab itu kita pastikan peniaga mematuhi syarat ditetapkan.

"Saya lihat, rata-rata peniaga dan pengunjung mematuhi SOP. Kita akan pertingkatkan lagi dari semasa ke semasa," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau turut membuat pemantauan di Bazar Ramadan SS6/1 Kelana Jaya bagi melihat operasi perniagaan di situ.

Katanya, untuk tahun ini 115 lesen dikeluarkan untuk peniaga di bazar Ramadan berkenaan berbanding hampir 300 sebelumnya.

Menurutnya, 21 bazar Ramadan di bawah seliaan MBPJ membabitkan 800 tapak niaga disediakan tahun ini.

"Sebelum ini lebih 1,000 tapak, tapi kali ini kita hadkan supaya ada penjarakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:16 PM