GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) mengenal pasti 71 lokasi tumpuan kaki ponteng puasa yang akan diberi tumpuan khusus sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Datuk Najmi Ahmad berkata, lokasi terbabit antaranya di rumah, restoran, kedai makan bukan Islam dan peniaga yang menjual makanan melalui but kereta di tepi jalan.

Katanya, seramai 200 anggota penguat kuasa dan pegawai JHEAIK akan melakukan rondaan serta pemantauan berkala di setiap lokasi berkenaan bagi memastikan umat Islam menghormati Ramadan.

"Kita memberi perhatian serius terhadap kesalahan tidak menghormati Ramadan dalam kalangan umat Islam dengan pemantauan berterusan akan dilakukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014.

"Sepanjang Ramadan juga, peniaga dilarang menjual makanan, minuman, rokok atau seumpamanya kepada umat Islam dan umat Islam tidak dibenarkan makan, minum atau menghisap rokok atau seumpamanya di tempat terbuka," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JHEAIK, Mohd Yusri Md Daud.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, berdasarkan pemantauan mendapati terdapat peniaga meletak makanan seperti nasi bungkus dan lauk di kedai bukan Islam bagi dijual secara terbuka.

"Menjadi kebiasaan kepada orang Islam, walaupun tidak berpuasa, tidak akan makan makanan disediakan orang bukan Islam menyebabkan mereka pergi ke kedai yang diketahui menjual makanan disediakan orang Islam.

"Kedai ini kebiasaannya adalah kedai makan bukan Islam yang menjual nasi bungkus dan lauk, pelanggan akan menggunakan pelbagai taktik seperti masuk melalui pintu belakang atau membungkusnya di dalam plastik hitam," katanya.

Berikutan itu, beliau mengingatkan mana-mana individu yang ditangkap tidak berpuasa boleh didenda RM1,000 dan penjara enam bulan, manakala bagi kesalahan berulang, mereka boleh didenda RM2,000 dan penjaran setahun.

Untuk rekod, seramai 12 individu ditangkap kerana tidak berpuasa pada 2019 dan pada tahun lalu, seramai empat individu ditangkap kerana kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 3:48 PM