ANTARA individu yang ditahan. FOTO ihsan JAINJ
ANTARA individu yang ditahan. FOTO ihsan JAINJ
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah menahan 22 individu beragama Islam yang disyaki makan secara terbuka di tempat awam serta dua peniaga yang menjual makanan kepada mereka dalam operasi di seluruh negeri ini sejak hari pertama Ramadan sehingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Halid Sono berkata, 22 yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana makan, minum, menghisap rokok atau seumpamanya secara terbuka atau di tempat awam pada waktu berpuasa di bulan Ramadan.

Manakala, dua lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(a) enakmen yang sama kerana menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu berpuasa di bulan Ramadan.

"Mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JAINJ di seluruh negeri ini setiap hari yang dibuat berdasarkan aduan orang awam selain rondaan anggota penguat kuasa sendiri.

"Setakat ini, daerah yang terbabit dalam penahanan individu ini ialah Batu Pahat (2), Segamat (3), Kluang (4), Kota Tinggi (2), Pontian (7), Tangkak (3) dan Kulai (3). Mereka yang ditahan berusia antara 45 hingga 60 tahun," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Diminta mengulas lanjut berhubung masih terdapat masyarakat beragama Islam yang tidak berpuasa di bulan Ramadan, beliau berkata, alasan gastrik atau melakukan kerja berat adalah yang selalu diguna pakai oleh mereka yang tidak berpuasa ini.

"Biasanya yang agak berusia ini memberi alasan mereka tidak tahan berpuasa, ada juga yang memberi alasan melakukan kerja berat.

"Bagi yang melakukan kerja berat ini, mereka perlu juga untuk niat berpuasa, bersahur dan berpuasa seperti biasa. Namun, diharuskan makan sekiranya ketika melakukan kerja berat itu, mereka tidak dapat tahan untuk meneruskan puasa.

"Salah bagi mereka yang sudah dari malam sebelumnya berniat tidak mahu berpuasa kerana esok akan melakukan kerja berat," katanya.

Halid berkata, pihaknya akan bertindak tegas kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa dan makan di tempat awam serta peniaga atau premis perniagaan yang membenarkan pelanggan beragama Islam makan pada waktu berpuasa.

Katanya, operasi akan dilakukan sepanjang Ramadan ini antara lain bagi menyedarkan masyarakat Islam khususnya di Johor untuk menghormati Ramadan dan menjunjung perintah Allah ini dengan keimanan, keinsafan dan kesedaran.

"JAINJ mengambil langkah seumpama ini adalah bagi menyedarkan umat Islam dan mencegah kemungkaran supaya menjadi pengajaran kepada meraka dan juga semua masyarakat.

"Mana-mana mereka yang ditahan akan diberi nasihat dan proses siasatan dilakukan sebelum dibawa ke pihak pendakwaan untuk didakwa sekiranya bersalah," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 2:52 PM