Kakitangan JAINJ (kanan) sedang memeriksa kad pengenalan umat Islam yang didapati tidak berpuasa dan makan di tempat awam secara terbuka. FOTO Ihsan JAINJ
Kakitangan JAINJ (kanan) sedang memeriksa kad pengenalan umat Islam yang didapati tidak berpuasa dan makan di tempat awam secara terbuka. FOTO Ihsan JAINJ
Izlaily Nurul Ain Hussein


BARU 11 hari umat Islam menjalani ibadah puasa, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah menahan 25 individu beragama Islam yang disyaki makan secara terbuka di tempat awam.

Turut diambil tindakan adalah enam peniaga yang disyaki bersubahat dengan menjual makanan dan membiarkan mereka yang tidak berpuasa makan di tempat awam dalam operasi dijalankan di seluruh negeri ini selama 10 hari sejak hari pertama Ramadan hingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, 25 orang yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana makan, minum, menghisap rokok atau seumpamanya secara terbuka atau di tempat awam pada waktu berpuasa di bulan Ramadan.

Manakala, enam peniaga itu pula disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(a) enakmen yang sama kerana menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu berpuasa di bulan Ramadan.

"Mereka yang ditahan ini semuanya lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun. Mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ di seluruh negeri ini setiap hari.

"Mereka yang ditahan akan diberi nasihat dan dikeluarkan saman untuk hadir bagi siasatan dilakukan sebelum dibawa ke pihak pendakwaan untuk didakwa sekiranya bersalah.

"Operasi ini akan diteruskan sehingga akhir Ramadan nanti," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Bagi kedua-dua kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Ditanya mengenai alasan diberikan mereka yang tidak berpuasa, Halid berkata, alasan biasa seperti sakit dan melakukan kerja berat masih digunakan.

"Alasan biasa yang mereka berikan, sakit atau buat kerja berat. Sebenarnya mereka ini memang tidak tahan berpuasa, tetapi beri alasan sakit," katanya.

Pada masa sama, beliau ingin menasihatkan semua umat Islam supaya lebih peka dan menghormati kesucian bulan Ramadan, termasuklah peniaga makanan dan minuman yang dinasihatkan supaya tidak bersubahat dengan menjual makanan serta membiarkan pesalah makan di tempat terbuka.

"JAINJ mengambil tindakan ini terhadap mereka yang makan di tempat awam secara terbuka. Sekiranya mereka membeli makanan pada waktu siang, harap lebih peka dan jangan makan di tempat awam. Hormatilah kesucian bulan Ramadan ini.

"Kami tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan atau menghalang mana-mana peniaga supaya tidak boleh berniaga, kerana had masa atau waktu operasi kedai makan pada bulan Ramadan adalah di bawah arahan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Diharapkan masyarakat tidak salah faham dan mengatakan JAINJ tidak mengambil tindakan atau tidak mengarahkan kedai-kedai makan ini ditutup pada waktu siang, kerana kami hanya boleh bertindak menasihati peniaga supaya tidak bersubahat dengan individu yang tidak berpuasa, namun arahan tutup atau sebagainya adalah bidang kuasa PBT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 2:34 PM