GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Hanya kerana tidak mahu bapanya menanam pokok nangka, seorang lelaki tergamak memukul warga emas itu dengan batang cangkul pada kejadian di belakang sebuah rumah di Kampung Cina Sungai Durian di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 69 tahun patah tulang siku, bengkak pergelangan tangan kanan selain menerima 10 jahitan di lengan kanan dan lima jahitan di kepala kanan selepas dipukul suspek berumur 40 tahun.

Selepas kejadian, mangsa yang berlumuran darah terus menunggang motosikal sebelum ditemui seorang lelaki pada jam 8.20 pagi yang kemudiannya menghubungi ambulans dan menantunya yang tinggal di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, menantu mangsa kemudian menghubungi warga emas berkenaan yang ketika itu sedang mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Mangsa dan suspek tinggal berasingan. Suspek juga adalah anak keempat mangsa hasil perkahwinan dengan isteri pertama.

"Suspek tinggal bersendirian di rumah berkenaan. Menurut mangsa, anaknya itu memukulnya dengan menggunakan batang cangkul akibat perselisihan faham berkaitan jenis pokok ditanamnya.

"Suspek tidak membenarkan mangsa menanam pokok nangka di tanah berkenaan. Suspek tidak bekerja dan disyaki terbabit dengan dadah," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek melarikan diri sejurus kejadian dan usaha mengesannya masih berjalan.

Semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 2:33 PM