Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya tak sangka nanas yang terhasil dari ribuan pokok yang diusahakan bersama bapa mentua sejak setahun lalu mengeluarkan buah kembar lapan," kata Mohd Fahrul Razi Ahmad, 34.

Menurutnya, dia menanam lebih 2,000 pokok nanas pelbagai jenis di tanah lapang seluas 0.5 hektar di Kampung Sungai Baru, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia tidak menyangka beberapa pokok nanas mengeluarkan buah unik kembar lapan yang berbentuk seperti kipas.

"Nanas ini sangat unik dan cantik namun terpaksa mengambil buah lebih awal kerana bimbang dicuri.

"Belum pernah saya tengok nanas unik seperti ini yang beratnya 7.3 kilogram berbanding berat sebiji nanas cuma tiga kilogram," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Fahrul Razi yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu berkata, bapa mentuanya, Shamsul Anwar Ahmad, 68, bagaimanapun tidak bercadang menjualnya namun sekiranya ada yang berhasrat membeli, mereka boleh berbincang.

Katanya, selepas diperiksa, ada beberapa pokok nanas lain turut mengeluarkan nanas kembar namun masih muda.

MOHD Fahrul Razi menunjukkan nanas MD 2 kembar lapan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Fahrul Razi menunjukkan nanas MD 2 kembar lapan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Sementara itu, Shamsul Anwar berkata, dia menanam nanas bukan untuk memikirkan pulangan hasil tetapi hanya sekadar mengisi masa lapang selepas bersara daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).\

"Saya banyak bertanya pada rakan-rakan yang menanam nanas dan ada yang menyokong tindakan saya ini untuk mendapatkan hasil buah yang baik.

"Selain itu, saya juga mendapatkan pandangan dari kakitangan Lembaga Nanas Kedah mengenai penjagaan nanas," katanya.

Katanya, mungkin faktor cuaca mempengaruhi buah nanas ditanamnya.

"Ada lagi buah nanas yang muda dan belum matang berbentuk kembar malah ada berbentuk seperti pokok kaktus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 10:39 AM