Zahrah (tengah) bersama ahli Persatuan Kebajikan Golongan B40 di negeri ini tampil membuat aduan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Negeri Kelantan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Zahrah (tengah) bersama ahli Persatuan Kebajikan Golongan B40 di negeri ini tampil membuat aduan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Negeri Kelantan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kecewa ditipu oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Golongan B40 yang didakwa menawarkan 'janji manis' untuk membantu kelangsungan hidup, 10 individu tampil membuat aduan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Kelantan.

Zahrah Md Kasim, 45, yang mewakili semua individu berkata, persatuan itu kononnya menawarkan 15 jenis bantuan selepas membayar yuran keahlian sebanyak RM160 untuk seumur hidup.

Namun dakwanya, tawaran itu hanyalah janji palsu apabila persatuan itu gagal melunaskan tuntutan ahli dan menyebabkan mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

"Laporan dibuat kepada RoS bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap persatuan berkenaan. Saya dan beberapa wakil datang ke RoS untuk membuat aduan dan mahu tindakan diambil ke atas individu berkenaan.

"Selepas tiga bulan mendaftar sebagai ahli iaitu sekitar September 2019 namun masih tidak menerima sebarang maklum balas sehingga saya dibuang daripada kumpulan WhatsApp persatuan ini pada Disember tahun lalu.

"Sepatutnya sebaik sahaja kami membayar yuran keahlian, secara automatik akan mendapat 15 jenis bantuan itu termasuk bantuan kewangan bulanan dan bantuan menyelesaikan hutang," katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat RoS Negeri Kelantan, Jalan Telipot, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah RoS Negeri Kelantan, Dalila Diyana Mat Zaid berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap aduan itu.

"Kami akan menjalankan siasatan segera berhubung perkara ini. Berdasarkan semakan, Persatuan Kebajikan Golongan B40 ini berdaftar secara sah di bawah RoS. Namun menurut perlembagaan keahlian persatuan hanya tertakluk kepada golongan B40 yang hanya tinggal di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

"Tindakan persatuan ini menyalahi perlembagaan pertubuhan disebabkan menjalankan aktiviti kebajikan yang bercanggah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:30 PM